Kemaskini terbaharu dari pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) hari ini telah mengumumkan mengenai Pindaan Manual Liga Malaysia 2024-2025 melibatkan pendaftaran maksimum 12 Pemain Asing menerusi persetujuan bersama majoriti Rakan Kongsi Liga dan telah mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL.
Bagaimanapun, kuota tambahan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi kerana 2 pemain asing tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL sahaja serta pendaftaran pemain asing di dalam Team List dalam Liga Malaysia 2024-2025 masih kekal.
Berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024- 2025 serta persetujuan bersama pemegang taruh MFL itu, pindaan terbaharu itu menyaksikan kelab-kelab Liga Super yang bertanding dalam Kejohanan Peringkat Kelab Anjuran AFC dan AFF (Johor Darul Ta’zim, Selangor FC, Terengganu FC & Kuala Lumpur City FC) dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini.
Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada kelab- kelab Liga Malaysia yang layak ke pertandingan AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFF Club Championship 2024-2025 bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif.
Ini susulan keputusan terbaharu AFC yang telah memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had di dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu.
Dengan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terlibat adalah seramai 34 pemain membabitkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.
Namun begitu, peraturan pendaftaran pemain asing di dalam Team List bagi perlawanan di pertandingan Liga Super, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup 2024-2025 masih kekal iaitu 7 (6+1).
Manakala bagi proses naik dan turun pemain Piala MFL 2024-2025, peraturan pendaftaran 5 pemain tempatan (melebihi 23 tahun) dan maksimum tiga pemain asing dalam Team List (maksimum 2 pemain dibenarkan beraksi di atas padang) masih kekal.
Keputusan untuk mengekalkan kuota ini adalah bagi memastikan peluang pemain tempatan bawah 23 tahun beraksi dalam saingan Piala MFL.
Tiada perubahan bagi kelab-kelab yang tidak terlibat dalam Kejohanan Peringkat Kelab Anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di mana mereka hanya dibenarkan mendaftar maksima 9 pemain asing sahaja seperti peraturan sedia ada.
Semoga dengan pertambahan pandaftaran pemain asing ini akan dapat membantu kelab-kelab yang membawa cabaran negara di pentas antarabangsa membuat persiapan lebih rapi dan memberikan saingan sengit memburu kejayaan sekali gus menyumbang mata kepada ranking kelab AFC bagi memastikan slot kelab negara pada musim akan datang.
Post a Comment