TIKET MAHAL PUNCA MACHAN FC MAHU TARIK DIRI


Kelab bola sepak dari Bumi Kenyalang Sarawak, Machan FC sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada baki saingan Liga A Semi Pro 2024/2025.

Jelas kelab itu, harga tiket penerbangan domestik yang semakin meningkat menjadi punca utama mereka berkemungkinan mengambil keputusan berkenaan.

Dalam satu muat naik lagi di laman media sosial rasmi Machan FC telah menyatakan bahawa tiket penerbangan domestik "pergi balik" dari Sarawak ke Semenanjung berjumlah RM 1500 untuk setiap pemain.

“Kelab bergerak menggunakan dana sendiri dan peningkatan ketara harga tiket penerbangan domestik menyebabkan kesukaran untuk kelab meneruskan baki Liga A1 Semi Pro Malaysia,” jelas Machan FC menerusi hantaran di Facebook.

Namun keputusan berkenaan belum muktamad, jelas kelab itu.

“Pihak pengurusan kelab akan berbincang dengan Amateur Football League (AFL) bagi mengatur semula jadual liga agar semua perlawanan di tempat lawan diadakan serentak di Kuala Lumpur untuk menjimatkan kos penerbangan,” tambah kelab itu.

Selepas tamat 12 perlawanan, pasukan yang kini dibimbing Edward Jamid Unting menduduki tempat ke-13 daripada 15 pasukan menerusi dua kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan.

Liga A1 Semi Pro musim ini merupakan penyertaan sulung kelab itu selepas menduduki empat teratas dalam saingan Liga M4 AL Ikhsan Cup musim lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post