"PROMOTE LIVE" HARAM, KDN FC DIKENAKAN AMARAN PERTAMA SERTA DIDENDA RM 5000


Badan Pengelola rasmi saingan Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) menentang sekeras-kerasnya penstriman secara haram untuk menonton perlawanan Liga Malaysia 2024-2025.

Bagi menjaga privasi perlawanan secara langsung dan hak penyiaran rasmi, penyokong-penyokong dilarang untuk menyaksikan sebarang perlawanan secara haram di mana-mana platform media sosial atau laman web tidak rasmi yang juga telah termaktub mengikut Seksyen 43AA Akta Hak Cipta. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi, Astro selaku penyiar rasmi dan RTM sebagai rakan penyiar rasmi sentiasa berusaha memberikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih komprehensif bagi Liga Malaysia musim ini demi kepuasan peminat bola sepak tempatan.

Justeru, aktiviti mempromosikan atau menggalakkan tontonan di laman web haram tidak seharusnya berlaku selain berharap penyokong Liga Malaysia menunjukkan tanda sokongan kepada kelab kegemaran masing-masing dengan menonton perlawanan secara langsung di platform yang telah disediakan.

Menurutnya lagi,

“Kami di pihak MFL sangat menjaga privasi kandungan dan tontonan aksi Liga Malaysia di mana kami juga ingin menjaga hak penyiar rasmi iaitu Astro dan RTM yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik kepada penyokong. Kami juga mahu melindungi nilai komersial Liga Malaysia di mana hak penyiaran juga adalah antara punca pendapatan besar kepada kelab-kelab.

“Justeru, apabila ada yang masih mempromosikan siaran langsung secara haram, MFL sememangnya berasa kecewa dan berharap situasi sebegini tidak lagi berlaku.

“Harapan saya adalah penyokong-penyokong tidak sesekali menonton sebarang perlawanan secara haram sebaliknya menonton siaran yang telah disediakan iaitu Astro dan RTM,” jelasnya.

Terdahulu, Kelantan Darul Naim FC telah dikenakan denda sebanyak RM 5,000 serta amaran pertama selepas mengeluarkan kenyataan media dengan mempromosikan penstriman langsung (bukan penyiar rasmi) di laman media sosial rasmi kelab pada 27 September 2024.

Ini jelas melanggar Peraturan Media seperti yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2024. 

Sekiranya perkara sama berulang lagi, hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada mana-mana kelab yang melanggar peraturan tersebut. 

Post a Comment

Previous Post Next Post