Dalam kemaskini terbaharu di media sosial Sabah FC ada mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa pihak pengurusan kelab belum memutuskan untuk menandatangani kontrak pemain import terbaharunya bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2024-2025 dijangka bermula Mei depan.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata ketika ini Sabah FC masih meneliti prestasi serta keupayaan sebenar pemain import terbabit meskipun sudah menyertai sesi latihan sejak beberapa hari lalu.
Katanya ketika ini pihak pengurusan belum ada keputusan rasmi untuk mengumumkan sama ada pemain import terbabit akan terpilih atau sebaliknya.
“Kita mengesahkan pemain ini sudah bersama-sama kita dan apa yang saya lihat prestasinya cukup positif dan ini akan kita umumkan dalam masa terdekat sama ada akan menandatangani pemain baharu ini atau pun tidak.
“Kalau kita lihat daripada segi persiapan pasukan-pasukan lain sudah tentu mereka telah bermula lebih awal lagi serta menandatangani beberapa pemain import bagi mengukuhkan pasukan mereka dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kim Swee berkata setakat ini Sabah FC masih mengekalkan pemain import sedia ada sekali gus akan menetapkan sasaran berada antara lima kelompok pasukan terbaik Liga Malaysia musim ini.
“Kita lihat sasaran ini sangat positif serta berharap Sabah FC mampu melakukannya sekali gus cuba memperbaiki kelemahan daripada musim liga yang lalu,” jelas Kim Swee.
Sementara itu dalam perkembangan sama Kim Swee merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan termasuk menganjurkan perlawanan jemputan bagi menguji keserasaian dalam kalangan pemain sedia ada.
“Kita akan maklumkan dalam masa terdekat kemungkinan besar akan ada kejohanan Piala SMJ menjelang April atau awal Mei depan.
“Jadi keputusan sama ada kita akan menganjurkan atau tidak kejohanan Piala SMJ itu, pihak pengurusan akan mengumumkan dalam masa terdekat bagi tujuan tersebut,” tambah Kim Swee.
Menurutnya lagi setakat ini semua pemain sedia ada sudah melaporkan diri dalam kem latihan sejak beberapa hari lalu.
“Hanya beberapa pemain masih menyertai tugasan bersama pasukan kebangsaan dan dijangka akan melaporkan diri pada sesi latihan 28 Mac nanti.
“Ketika ini kita mempunyai ramai pemain tempatan dan kita telah memanggil balik mereka semua untuk menguji prestasi sebelum diberi peluang mengisi slot kekosongan sedia ada,” katanya.
Antara pemain-pemain tempatan yang dipanggil semula menjalani latihan, Sharizan Saidin, Naim Firdaus,Hamran Peter dan Mohd Nureizkhan Isa Japar.
Post a Comment