KUCHING CITY DIJANGKA LEBIH KUAT MUSIM HADAPAN



Kuching City FC akhirnya berjaya meraih kemenangan kedua mereka dalam Liga Super musim 2023.

Kemenangan yang dinanti-nantikan itu diraih dengan menewaskan Negeri Sembilan FC 4-1 dalam aksi terakhir liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Finalis Challenge Cup itu memiliki kelebihan kerana dapat menurunkan lima pemain import dalam kesebelasan utama mereka.

Ini sama sekali berbeza dengan Negeri Sembilan di mana mereka hanya dapat menurunkan seorang pemain import iaitu Hein Htet Aung.

Babak pertama menyaksikan skuad Rusa berusaha mencari kelebihan awal ke atas anak-anak buah Aidil Sharil Sahak itu.

Gerakan serangan yang direncana tuan rumah membuahkan hasil apabila Shahrel Fikri Md Fauzi meledakkan gol pertama pada minit keempat.

Pelawat yang tersentak kembali bangkit mengatur gerakan serangan. Penyokong Negeri Sembilan cemas apabila beberapa percubaan The Cats hampir saja menembusi gawang yang dikawal Sikh Izhan Nazrel.

Gol penyamaan yang dicari muncul pada minit ke-44 menerusi pemain import Jepun, Yuki Tanigawa. Gol tersebut memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, pelawat terus ghairah memburu gol tambahan. Gawang Sikh Izhan bocor lagi menerusi Yuki Tanigawa pada minit ke-47.

Penyerang Timor Leste, Pedro Henrique memastikan Kuching City makin selesa menerusi gol ketiga pada minit ke-55.

Semangat juang skuad Rusa makin luntur apabila sepakan percuma Dybal menerjah jaring pada minit ke-73. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing kekal di tangga kesembilan dan ke-13 Liga Super dengan 27 dan 12 mata.

Post a Comment

Previous Post Next Post