2 PENYERANG BERBISA BAKAL SERTAI PDRM



PDRM jelas ingin memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan lebih baik berbanding tahun lalu, selepas ada beberapa persiapan sudah pun dibuat secara diam-diam untuk menampilkan elemen kejutan.

Terdahulu, mereka sah melepaskan beberapa pemain penting termasuk import seperti Nnabuike Chukwu, Jacque Faye, Marcus Macauley, serta pertahanan dari Nigeria, James Okwuosa.

Tidak hanya pemain import, pasukan itu turut melepaskan beberapa pemain tempatan yang berkualiti seperti Ramadhan Hamid, Nabil Ahmad Latpi, serta Dzulfahmi Abdul Hadi untuk saingan hadapan.

Secara keseluruhan, rombakan dibuat oleh PDRM jelas sangat besar kerana ia melibatkan beberapa pemain utama pada tahun lalu seperti Nabil Latpi serta James Okwuosa yang tampil menyerlah.

Walaupun begitu, mereka juga dilaporkan giat untuk menandatangani pemain baharu bagi saingan hadapan untuk mewujudkan persaingan sengit berhadapan pasukan-pasukan lawan.

Terbaharu, Astro Arena melaporkan bekas Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017) serta ABK 2020 iaitu Shahrel Fikri kini hampir pasti menyertai PDRM untuk saingan hadapan selaku penggempur tempatan. 

Hadir dengan rekod tujuh gol bersama dua bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 19 penampilan bersama Negeri Sembilan pada musim lalu.

Tidak hanya itu, PDRM juga kini 90% dilaporkan bakal menandatangani bekas Penjaring Terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 iaitu Ifedayo Olusegun selaku penggempur import mereka.

Nama Ifedayo tidak lagi perlu diperkenalkan dengan lebih dalam, kerana kebanyakan pemain ini sudah pun cukup dikenali dalam kalangan penyokong menerusi ketajaman beliau di hadapan gol.

Hadir dengan reputasi cukup tinggi, Ifedayo sekali lagi membuktikan dirinya masih ampuh di hadapan gawang gol ketika menyertai Kedah Darul Aman (Kedah) pada pertengahan musim lalu untuk menggantikan khidmat import dari Brazil, Willian Lira.

Musim lalu menyaksikan Ifedayo sudah pun meledak 12 gol bersama satu bantuan jaringan daripada 13 perlawanan membabitkan beliau bersama Sang Kenari di pentas domestik.

Hanya setengah musim sahaja diperlukan Ifedayo bersama Kedah untuk membuktikan dirinya masih lagi relevan serta mampu meledak lebih daripada 10 gol di saingan Liga Malaysia (Liga M).

Kehadiran dua pemain ini dijangka akan menjadikan PDRM bertambah baik pada saingan hadapan, apatah lagi mereka juga berjaya mengekalkan penggempur berbisa tahun lalu iaitu Bruno Suzuki bersama pemain tengah bertahan kebangsaan Jordan, Fadi Awad.

Jangkaan kami, beberapa lagi pemain import serta tempatan berkemungkinan turut diintai oleh PDRM yang bertindak secara senyap untuk mempersiapkan diri di segenap posisi.

Post a Comment

Previous Post Next Post