Kedah Darul Aman (Kedah) kini dikaitkan berita perpindahan terbaharu, dengan dua bekas pemain import Terengganu pada saingan lalu iaitu Habib Haroon serta Sony Norde bakal ditandatangani.
Perkhabaran tersebut sebelum ini dinyatakan sendiri melalui wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam dengan melaporkan kedua pemain itu sudah pun ditandatangani.
Terdahulu, dua pemain import tersebut sah dilepaskan oleh Terengganu kerana mereka mahu mengambil langkah penjimatan berbanding saingan lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, Mohd Sabri Abas sebelum ini, pihak mereka pada awalnya masih ingin mendapatkan khidmat Habib serta Sony, tetap terpaksa dilupakan kerana faktor gaji semakin meningkat.
“Namun kita terpaksa mengetepikannya daripada pasukan pada musim depan kerana kita tidak mampu untuk membayar gaji yang dimintanya biarpun kita masih berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.
“Ini kerana pada musim depan kita akan mengamalkan langkah penjimatan dalam perbelanjaan bagi memastikan perjalanan pasukan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah terutama berkaitan gaji pemain,” kata Mohd Sabri menerusi satu petikan di Harian Metro.
Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan, Kedah yang menjadi salah satu pasukan paling bermasalah isu kewangan dan dilaporkan masih belum selesai sepenuhnya bakal mendapatkan dua pemain tersebut.
Tatkala Sang Penyu yang mempunyai kewangan lebih stabil bertindak menggugurkan Sony serta Habib demi langkah penjimatan atas faktor permintaan gaji, lain pula situasi buat Kedah yang mahu menandatangani mereka.
Persoalannya kini, adakah kantung kewangan Kedah sudah pun pulih sepenuhnya sehingga mereka tidak ralat untuk kembali berbelanja besar?
Adakah segala tunggakan gaji yang berlaku sebelum ini juga sudah pun diselesaikan sepenuhnya serta Sang Kenari turut menerima suntikan dana baharu untuk saingan akan datang?
Persoalan demi persoalan yang timbul ini masih belum terungkap dan berita perpindahan kedua pemain import yang dilaporkan pihak Terengganu sebelum itu membuat permintaan gaji lebih tinggi tersebut bakal menyertai Kedah adalah sesuatu cukup pelik.
Walaupun begitu, tidak dinafikan kualiti Sony atau Habib yang sebelum ini sudah pun membuktikannya sejak beberapa tahun mereka beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Apatah lagi Habib yang sebelum ini pernah mencipta kerjasama cukup haik dengan Nafuzi Zain ketika mereka sama-sama di Terengganu suatu ketika.
Apapun, ianya masih lagi belum diumumkan secara rasmi oleh media Kedah mengenai perpindahan kedua pemain tersebut, dan khabarnya Sang Kenari juga giat memburu seorang bintang naturalisasi musim ini.
Post a Comment